Siapa Pengganas Utama Dunia, Contohnya di Hiroshima?

25 11 2007

200,000 mangsa bom atom cair sekelip mata
Oleh Jamhariah Jaafar

Pameran dedahkan azab mangsa perang di Hiroshima, Palestin angkara kerakusan kuasa dunia

PERASAAN ngeri dan insaf memang mengulit hati ketika menjejakkan kaki ke Muzium Peringatan Hiroshima yang menempatkan sejarah ledakan bom atom yang menamatkan Perang Dunia Kedua pada 1945.

Rasa marah dan insaf ketika melihat pusat peringatan Pearl Harbour di Hawaii, manakala perasaan sedih melihat kebodohan manusia bergelar kuasa dunia, apabila membiarkan ribuan rakyatnya maut dalam Perang Vietnam, yang tinggal hanya nama yang diabadikan di tugu peringatan Washington.

Tapi pameran Menentang Peperangan yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sepanjang minggu ini, bukan saja mencetuskan perasaan gerun terhadap bahana peperangan, bahkan air mata tidak dapat disekang melihat replika mangsa peperangan terutama kanak-kanak yang maut, cacat dan menjadi yatim piatu.

Apa yang membuatkan pameran sempena Forum Keamanan Dunia, bertajuk Pendedahan Jenayah Perang: Jadikan Peperangan Satu Jenayah, terus terbayang di ingatan ialah suasana yang dicipta begitu teliti, dengan kesan bunyi, cahaya dan replika lokasi medan peperangan, rumah mangsa perang, penjara yang Iraq dan Teluk Guantanamao, bilik seksaan, cara seksaan, pembunuhan tanpa berperi kemanusiaan, bayi bergelimpangan menangis tanpa henti kerana setiap ahli keluarga dibunuh, sudah cukup membuatkan sesiapa yang berada di dewan pameran berdoa agar keadaan yang sama tidak menimpa negara ini.

“Sesiapa yang melihat sudah pasti menitikkan air mata menyaksikan kesengsaraan, kesakitan, penderitaan, ketakutan dan kegerunan yang tidak dapat dibayangkan mana-mana rakyat Malaysia yang tidak pernah mengalami tragedi peperangan. Sebarang kejadian atau tragedi yang berlaku kepada negara ini selepas merdeka, tidak pernah menghampiri situasi yang melanda Palestin atau Iraq hari ini.

“Seluruh rakyat Malaysia yang melihat pameran ini sudah pasti akan insaf dan bersyukur kita hidup dalam sebuah negara yang aman dan makmur. Cynthia McKinney, bekas perwakilan di daerah Georgia, Amerika Syarikat, juga terkejut melihat Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum, budaya dan agama boleh hidup dalam suasana aman dan harmoni. Dia adalah orang yang menggelarkan Kuala Lumpur sebagai Bandar Keamanan,” kata Datuk Mukhriz Mahathir.

Pameran dimulakan dengan peperangan pertama nuklear iaitu apabila Amerika Syarikat menggugurkan bom atom ke atas Hiroshima dan Nagasaki yang menamatkan Perang Dunia Kedua. Replika bom atom terbabit dipamerkan dan ilustrasi kepada susulan selepas ‘Little Boy’ (nama yang diberi kepada bom atom berkenaan) digugurkan, betapa ia hanya mengambil masa hanya satu minit untuk meletus pada ketinggian 2,000 kaki di atas bangunan yang hari ini dipanggil sebagai ‘A-Bomb Dome’.

Angin kuat membuatkan radiasi bom itu tersebar lebih 1.5 batu persegi, dan manusia yang berada dalam kawasan berkenaan hampir semua cair tanpa sebarang kesan. Lebih 200,000 orang dipercayai maut serta merta pada 8 Ogos, 1945, 140,000 lagi maut sehingga hujung tahun itu dan bagi yang hidup susulan radiasi itu memberi kesan genetik yang membuatkan bayi dalam kandungan cacat dan wanita tidak boleh mengandung, penyakit leukemia terus menghantui beberapa generasi rakyat negara itu.

Pengunjung turut dihantui gambaran yang diberi mengenai kesan sisa uranium depleted uranium (DU) yang digunakan untuk menjadi sumber tenaga nuklear atau pada senjata nuklear. Partikel DU ini adalah 100 kali kecil daripada sel darah putih, jadi apabila manusia bernafas, sekali gus mereka akan menghirup partikel ini.

Partikel DU ini akan memasuki hidung, melalui saluran pernafasan terus ke otak dan akan menjejaskan kemampuan berfikir dan bertindak manusia. DU bukan saja menjejaskan kehidupan manusia, bahkan memberi kesan ke atas semua sistem kehidupan – tumbuhan, binatang, malahan bakteria.

Antara kesan DU ialah penyakit kanser, simptom penat yang melampau, sakit sendi dan otot, meningkatkan keguguran di kalangan wanita hamil dan kecacatan bayi dalam rahim.

Pameran yang lengkap diiringi audio laungan kesakitan mangsa peperangan, tangisan bayi dan kanak-kanak yang tidak kunjung padam, ledakan bom dan nyanyian kumpulan terkenal seperti Bonnie M ketika mangsa perang diseksa, akan terus terngiang-ngiang di fikiran pengunjung.

Tidak sukar untuk menitiskan air mata apabila melihat bahana sekatan ekonomi yang pernah dialami beberapa negara dunia termasuk Iraq, memberi kesan yang amat memilukan kepada rakyat negara itu yang terus melalui kesengsaraan, walaupun dibebaskan kononnya daripada kekejaman pemerintahan kuku besi bekas Presiden Saddam Hussein.

Rakyat Malaysia dikejutkan dengan tindakan kuasa besar mengenakan sekatan barang keperluan termasuk makanan bayi, selimut, pelbagai produk perubatan, tisu, berus gigi, ubat gigi sehingga buku sekolah, yang membuatkan Iraq hari ini tidak lagi gentar untuk berhadapan dengan pelbagai seksaan dan penderaan daripada penceroboh negara itu.

Walaupun tidak gentar, gambaran seksaan kehidupan yang dialami rakyat Iraq yang lemah seperti kanak-kanak, orang tua dan mereka yang sakit akan membuatkan sesiapa saja berasa insaf bahawa sekatan seumpama itu bukan saja tidak berperi kemanusiaan, bahkan mencetus kemarahan terhadap golongan yang menganggap mereka lebih bertamadun dan lebih demokrasi daripada warga dunia yang lain.

Pendedahan kali pertama mangsa penderaan di Penjara Abu Ghraib, Iraq, Ali Shalah, memang menggerunkan tapi replika penjara serta gambaran cara seksaan yang digunakan tentera AS bukan saja di Iraq, bahkan di pusat tahanan di Teluk Guantanamao, amat mengaibkan nilai kemanusiaan itu sendiri.

Wajah-wajah gembira tentera AS ketika mendera tahanan perang Iraq, yang pernah disiarkan media massa dunia, diberi gambaran lebih jelas melalui pameran ini, malahan ia turut disertai replika penjara yang amat sempit, gambar-gambar jenis seksaan yang amat memalukan.

Penderitaan rakyat Palestin di tangan tentera Yahudi diberi gambaran amat memilukan. Mayat bergelimpangan, anak-anak dibiarkan menangis di keliling mayat, turut menceritakan mengenai pembunuhan beramai-ramai di Jenin dan Pantai Gaz. Manakala serangan ke atas Lebanon atas alasan memburu pejuang Hizbullah, menyaksikan warga tidak ada kena mengena dengan peperangan menjadi mangsa – sama ada maut terkena ledakan bom atau hanya tinggal sehelai sepinggang selepas harta mereka musnah.

Pengunjung juga diingatkan dengan Perang Vietnam, di mana tentera AS yang campur tangan dalam peperangan yang tidak ada kena mengena dengan mereka, akhirnya terpaksa melarikan diri kerana tidak tahan dengan gerakan ala gerila. Namun, berjuta-juta nyawa rakyat Vietnam melayang dalam perjuangan untuk mengusir keluar tentera AS dari bumi mereka.

Akhirnya, pengunjung didedahkan dekri tentera AS kepada ikrar sebagai seorang wira yang akan memusnahkan sesiapa saja yang dianggap sebagai musuh Amerika.

Pameran ini banyak mengajar warga Malaysia erti kemanusiaan. Persembahan selama seminggu yang berakhir Ahad ini, akan disambung Kementerian Pelancongan dan bakal di bawa ke seluruh Malaysia.

Rakyat Malaysia perlu didedahkan dengan penderitaan mangsa peperangan, dan diharapkan gambaran pilu, ngeri dan sedih ini dapat menyemai semangat mempertahankan kemerdekaan, keamanan dan kemakmuran yang dikecapi selama ini.

INFO
Kesan jenayah perang
• 340,000 maut di Hiroshima dan menderita kesan radiasi apabila tentera Amerika menggugurkan bom atom pada 8 Ogos 1945.
• Ramai rakyat Iraq menderita dan tahanan di penjara Abu Graib diseksa selepas Amerika menceroboh negara itu.
• Pembunuhan beramai-ramai di Jenin dan Pantai Gaz bukti kezaliman rejim Zionis di Palestin.
• Serangan Zionis di Lubnan menyaksikan beribu-ribu orang awam maut akibat peperangan.
• Berjuta-juta rakyat Vietnam terkorban ketika mengusir tentera Amerika dari negara mereka.


http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Sunday/

Rencana/20070210235230/Article/


Actions

Information

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: