Coraline Louisa Wilfred Yussin Pilih Islam

15 12 2007

Oleh ZUARIDA MOHYIN

Nur Alyssa Coraline Yussin.

 

USIKAN teman-teman sekuliah Coraline Louisa Wilfred Yussin yang mengatakan dia cocok bergelar muslim hanya dipandang remeh oleh gadis berketurunan Bisaya dari Sarawak ini.

Malah untuk bergelar muslim tidak pernah terlintas dalam benak beliau. Agama Kristian yang diwarisi daripada keluarga baginya sudah memadai.

Semuanya berpunca daripada sikapnya yang mudah mesra serta keterbiasaan beliau dengan cara hidup serta tanggungjawab seorang Islam seperti berpuasa. Wanita yang mesra dipanggil Leez ini tidak langsung menampakkan kejanggalan apabila berhadapan dengan situasi sedemikian.

“Agama Islam bukanlah terlalu asing buat saya. Malah saya senang dan selesa apabila berada dalam kelompok teman-teman yang beragama Islam. Ini saya alami sejak di Sarawak lagi. Hinggakan apabila saya menyambung pengajian di peringkat universiti pada 1998, pergaulan saya dengan mereka yang beragama Islam masih diteruskan.

“Kenangan yang paling tidak dapat saya lupakan adalah sewaktu bulan Ramadan di mana umat Islam berpuasa selama sebulan. Memandangkan majoriti teman-teman berpuasa, saya juga teringin mencuba mengalami keadaan tidak makan dan minum seharian.

Ditambah pula pada bulan itu, selalunya sukar hendak mendapatkan makanan kerana kedai-kedai banyak dibuka pada sebelah petang. Malah menerusi pembacaan, saya dapati berpuasa itu baik untuk kesihatan,” jelasnya.

Suasana cukup berbeza pada bulan mulia itu. Kemeriahan terasa sewaktu berbuka puasa dengan pelbagai juadah dan solat terawih yang dilakukan secara berjemaah.

“Layanan mereka terhadap saya biarpun di luar bulan puasa sama sahaja… mereka tidak membezakan saya sungguhpun kami berlainan agama pada masa itu,” cerita lulusan jurusan Perniagaan Antarabangsa ini yang berkongsi kisah awal yang membawa kepada pengislamannya pada September 2004.

Coraline yang kini menggunakan nama Islamnya iaitu Nur Alyssa Coraline Yussin, 30, turut mengakui pendedahan tentang Islam bukan sahaja diperoleh menerusi pergaulan tetapi hakikatnya ada beberapa saudara-mara beliau yang terlebih dahulu memeluk Islam.

Sungguhpun berlainan agama, kata Nur Alyssa atau lebih mesra dengan panggilan Leez, hubungan kekeluargaan mereka tetap rapat malah mereka sentiasa bersikap terbuka serta saling menghormati. Ia menjadi asas yang menjamin keharmonian dalam pertalian kekeluargaan.

Akui Leez, hatinya sering tertanya-tanya mengapa mereka memilih Islam setiap kali mendapat tahu tentang pengislaman beberapa pak cik dan mak ciknya. Pada saat itu barulah Leez sedar dan memahami bahawa ada banyak cara orang menerima hidayah Ilahi dan beliau mula mengambil tahu tentang Islam menerusi pembacaan.

“Ia menjadi serius apabila saya mula berkenalan dengan Raswanizam Mat Rashid yang kini merupakan suami saya. Kami berkenalan sewaktu saya menjalani latihan praktikal di syarikat tempat beliau bekerja di Petaling Jaya, Selangor.

“Pada awalnya kami sekadar teman biasa sahaja seperti pergi berbuka puasa beramai-ramai tetapi lama-kelamaan sikapnya yang tidak terlalu memaksa dan pada masa yang sama berjaya menerangkan beberapa persoalan yang merapatkan hubungan kami. Apa yang saya berani katakan ialah suami saya banyak membantu saya,” jelas Leez yang berumah tangga pada Mac 2005 serentak dengan adik iparnya, Raswan Edelin dengan pasangannya, Olyza Ichsan.

Menurut anak ketiga daripada lima adik-beradik ini, pada peringkat awal, keluarganya menentang hasratnya memeluk Islam apatah lagi bila mengetahui yang beliau sudah mempunyai teman lelaki berbangsa Melayu dan merancang untuk berkahwin. Namun, hati kecilnya tidak menyalahkan mereka terutama ibu bapa sebab kerana merekalah beliau lahir ke dunia dan mendapat pendidikan sehingga berjaya. Apatah lagi, mahu bergelar anak derhaka tidak sekali-kali dipinta.

“Saya tahu mereka bimbangkan tentang masa depan dan nasib saya terutamanya selepas bergelar muslim dan berkahwin. Namun, saya bertuah kerana ada dalam kalangan ahli keluarga terdekat seperti ayah dan abang yang menerima keputusan saya dan mahu saya teruskan jalan kehidupan yang dipilih dengan harapan saya tidak melupakan asal usul dan keluarga. Malah kehadiran ibu bapa pada majlis persandingan kami adalah saat yang saya dan suami paling hargai.

“Saya juga berterima kasih kepada keluarga suami kerana menerima saya seadanya. Kepada suami yang sanggup berkunjung ke Sarawak sebanyak dua kali bertemu ahli keluarga saya yang lain, pengorbanan dan sokongannya tidak ternilai. Ini meyakinkan ahli keluarga tentang keikhlasan dan kesungguhannya hendak memperisterikan saya,” kata Leez yang kini berbadan dua dan bakal menyambut kelahiran bayi kembar.

Ketika ditanya tentang pengalamannya berhadapan dengan keluarga isteri, Raswanizam berkata, perasaan gementar tetap wujud tetapi keikhlasan dan kesungguhan Leez memberi kekuatan kepadanya.

Raswanizam memahami kerisauan ibu bapa Leez apabila terpaksa melepaskan anak gadis ke tangan orang yang tidak dikenali. Walau bagaimanapun, anak sulung daripada dua adik-beradik ini gembira apabila dapat meyakinkan ibu bapa mertua dalam hal-hal yang sering disalah tafsir oleh mereka yang bukan beragama Islam. Contohnya, poligami, hubungan kekeluargaan, tanggungjawab anak dan sebagainya.

Celah Leez, berkat kata-kata seorang yang berpangkat datuk dalam keluarganya berjaya mengurangkan ketegangan pada pertemuan hari itu. Keluarga akhirnya menerima apa yang berlaku sebagai satu takdir Ilahi.

Meneruskan perbualan kami pada malam Sabtu itu di rumah ibu bapa Raswanizam di Bandar Tasek Selatan, kata Leez, ketenangan hati serta perasaan tenteram yang dialami sejurus selesai mengucap dua kalimah syahadah sukar diluahkan dengan kata-kata.

“Selesai bacaan doa selepas pengislaman, perasaan saya terasa begitu aman. Solat saya selepas benar-benar bergelar muslim amat menyentuh hati. Entahlah mungkin keikhlasan kepada Allah begitulah nikmat kepuasan yang Allah kurniakan. Saya bersyukur ini semua berlaku secara aman tanpa paksaan.

“Malahan peluang mengikuti kelas-kelas agama di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Jalan Ipoh banyak menjelaskan kekaburan dan kemusykilan saya selama ini. Ia tambah bermakna apabila ia turut disertai oleh suami. Tunjuk ajar Ustaz Amran Abdullah ketika di kelas banyak membantu saya pada masa itu,” katanya yang memilih ibu pejabat Perkim sebagai tempat mengucap syahadah.

Jelas Leez lagi, jika sebelum ini beliau tidak berpeluang mengikuti kelas Iqra dan fardu ain tetapi sejak kebelakangan ini apabila aktiviti kerja semakin sibuk, beliau terpaksa menimba ilmu agama menerusi Internet, pembacaan dan tunjuk ajar suami.

“Saya berazam mahu menguasai bacaan al-Quran,” jelasnya.

Sumber: Utusan Malaysia

 


Actions

Information

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: