Daniel Lim- Dari Hindu, Buddha & Kristian Kepada Islam

15 12 2007

Oleh ZUARIDA MOHYIN


ANAK sulung daripada dua orang adik-beradik ini dibesarkan dalam suasana keluarga yang menganut dua agama; ibunya beragama Hindu, bapanya penganut agama Buddha.

Secara tidak langsung, akui Pengarah Wholesale-Mart Business Point Sdn. Bhd, Mohammad Daniel Lim Abdullah atau nama sebelum Islamnya, Lim Yean Chuan, 31, keseluruhan zaman kanak-kanak dan sebahagian usia remajanya lebih terdedah kepada dua agama tersebut.

Pun begitu, penerimaan beliau terhadap kedua-dua agama orang tuanya, sekadar memenuhi ajakan mereka ke rumah ibadat serta meraikan perayaan kebesaran agama itu.

“Dalam masa yang sama juga, saya cuba berjinak-jinak dengan agama Kristian, dengan harapan ia akan menjadi pegangan kepercayaan suatu hari nanti.

“Tetapi, apa yang saya harapkan tidak ada padanya. Jadi, saya teruskan kehidupan seperti biasa, biarpun tidak berpegang dengan mana-mana agama yang boleh dijadikan sebagai pegangan akidah,” akui usahawan berjaya yang berasal dari Sungai Besar, Selangor ini.

Menyambung kisah `penghijrahan’ akidahnya, cerita Muhammad Daniel, sungguhpun pengetahuan tentang Islam sudah bermula dalam lingkungan kejiranan di Perkampungan Sungai Haji Dorani dan melalui pergaulan dengan teman-teman sekolahnya, namun, bertambah serius di alam pekerjaan.

“Saya mula bekerja pada 1995 di Seberang Perai, Pulau Pinang dan dalam masa bekerja inilah saya mengenali dan semakin tertarik kepada Islam.

“Tambahan pula, waktu itu saya merasakan kekosongan jiwa yang teramat sangat. Dalam memenuhi kehendak dalaman inilah, saya dapati dalam banyak ajaran dan amalan ibadah agama Islam, ia begitu lengkap dan relevan sepanjang zaman.

“Contoh paling mudah, dalam ibadah seperti sembahyang, puasa dan zakat . Hakikatnya, ia membawa manfaat dari segi fizikal dan mental seseorang itu. Malah kajian moden turut mengakuinya,” jelas Muhammad Daniel sewaktu ditemui di pejabatnya yang terletak di Taman Alam Jaya, Batu 9, Cheras, baru-baru ini.

Di samping itu, kata bapa kepada dua orang cahaya mata ini, perjalanan beliau menuju Islam tidaklah semudah yang dijangka.

Ini kerana beliau terpaksa mengorbankan masa demi memperoleh ilmu agama Islam secara formal. Selain itu ia menerima tentangan hebat daripada keluarga terdekat.

Pun begitu, menyedari dirinya yang dikategorikan seorang yang suka kepada cabaran, malah berprinsip bahawa sesuatu yang susah, itulah yang benar, akhirnya waima pelbagai halangan dan dugaan dihadapi, tanggal 25 Julai 1998, bertempat di pejabat Agama Islam Butterworth, sahlah pengIslaman Muhammad Daniel pada usia 24 tahun.

“Apabila sahaja bergelar Muslim, wujud semacam satu perasaan yang sukar digambarkan dan diluahkan dengan kata-kata.

“Saya dapat rasakan kelegaan, kesyukuran, kepuasan. Biarpun dirasakan seperti ada satu tanggungjawab yang terpikul tetapi ia tidak merasakan sebagai satu bebanan.

Bersemangat

Malahan ia menjadikan saya lebih bersemangat dan bermatlamat di dalam setiap pekerjaan yang dilakukan di atas dunia ini.

“Apatah lagi, pada masa pengIslaman itu saya sudah ada bakal isteri. Naimah Shariff, kini isteri saya merupakan insan yang banyak menunjuk ajar saya tentang Islam. Malah ibu mentua, Hamidah Ahmad, tidak lekang memberi sokongan dan nasihat,” terang Muhammad Daniel yang mendirikan rumah tangga pada November 1998.

Pasangan bahagia yang kini bersama-sama mengusahakan sebuah rangkaian syarikat pemasaran, penerbitan dan pengiklanan, bertambah yakin dengan kehadiran Nadiah, 6 dan Mohd. Danish, 4 tahun menjadi sumber inspirasi mereka .

Berkongsi cara beliau berusaha mengatasi masalah keretakan hubungan kekeluargaan dengan keluarga kandung terutamanya ibu, ujar Muhammad Daniel, Islam amat menitikberatkan hubungan anak dengan ibu bapa walaupun berbeza agama.

“Emak memang tidak merestui pengIslaman saya tetapi itu bukan masalah besar bagi saya. Ini kerana bukan emak saya sahaja tidak faham tentang Islam tetapi ramai orang yang bukan Islam berada di dalam keadaan serupa. Lebih-lebih lagi, umat Islam tidak menunjukkan contoh yang baik.

“Lantaran itu, saya sentiasa menjenguk mereka dan bersikap baik bukan semata-mata untuk menunjuk-nunjuk tetapi itulah yang Islam ajarkan kepada umatnya.

“Alhamdulillah, selepas berusaha dan bertawakal serta memohon doa kepada Allah s.w.t., ibu menerima saya kembali tanpa syarat.

“Malah setelah kehadiran anak kami yang sulung, suasana hubungan menjadi semakin rapat,” terang Muhammad Daniel dengan nada lega.

Sumbangan

Bercerita sumbangan yang mampu beliau salurkan terutamanya berkaitan syiar Islam melalui bidang perniagaan, kata Muhammad Daniel, sebelum ini perniagaan yang diusahakan lebih menumpukan pemasaran barangan import tetapi lama-kelamaan mula memasarkan barangan buatan tempatan.

Pun begitu, kebelakangan ini syarikatnya telah mengembangkan sayapnya dengan menceburi bidang penerbitan, terutamanya buku kanak-kanak dan buku-buku agama.

“Inilah sumbangan kecil saya dalam menyampaikan dakwah Islamiah secara tidak langsung.

“Apabila mendapati buku berkaitan agama mendapat sambutan hangat, saya telah mencari seorang pekerja yang mempunyai latar belakang pendidikan agama untuk menjadi penulis tetap kepada syarikat kami.

“Sebagai langkah permulaan, sebahagian keuntungan penjualan bahan penerbitan, kami salurkan kepada rumah-rumah kebajikan.

“Selain itu juga, matlamat syarikat kami ialah melatih usahawan tempatan untuk memahirkan diri dalam sistem pemasaran, pentadbiran dan pengurusan.

“Mereka juga dilatih supaya dapat mengusahakan dan menguruskan perniagaan masing-masing kelak,” ujar Muhammad Daniel, yang ingin bergelar pendakwah suatu hari nanti.

Sebenarnya kejayaan Muhammad Daniel dalam dunia yang mencabar ini, wajar dijadikan pengajaran kepada anak-anak muda Islam yang lain.

Ini kerana, sebelum berjaya memperoleh pendapatan lumayan, beliau pernah bergelar penjual jalanan yang menjual barangan permainan dari pintu ke pintu.

Kini, siapa sangka Muhammad Daniel bukan sahaja menjadi idola kepada para pekerjanya yang berjumlah hampir 300 orang di 16 buah cawangannya yang terdapat di seluruh Semenanjung Malaysia.

Bahkan, beliau juga dalam usaha melebarkan perniagaan ke negara-negara jiran seperti Brunei dan Indonesia.

Berkongsi rahsia kejayaannya, kata Muhammad Daniel ketrampilan baginda Rasulullah s.a.w. dalam dunia perniagaan sentiasa menjadi sumber inspirasi utama beliau.

Keindahan

Lantaran itu, dalam urusan perniagaan, saya cuba selitkan keindahan Islam melaluinya. Contohnya bersikap ikhlas dan menghadapi segala cabaran dalam keadaan yang tenang.

Hakikatnya, contoh yang baik akan menjadi ikutan dan tarikan orang bukan Islam kepada agama yang mulia ini.

“Kalau kita tidak membaiki imej Islam, siapa lagi?,” pinta Muhammad Daniel ringkas.

“Malah melalui kekuatan ekonomi jugalah, satu cara kita membantu umat Islam yang lemah dan kekurangan.

“Ia bukan sahaja mampu meningkatkan diri dan keluarga tetapi juga umat Islam yang lain.

“Kata-kata inilah yang sering ditekankan dan diterapkan kepada para pekerja saya kerana boleh dikatakan 95 peratus staf di syarikat ini adalah orang-orang Islam.

“Saya mahu maju bersama, bukannya sendirian. Sekiranya orang Islam berjaya secara tidak langsung, agama Islam juga dipandang tinggi dan dihormati,” kata Muhammad Daniel petang itu.


Actions

Information

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: