Steven Lee Yok Hua- 10 Tahun Pujuk Isteri Masuk Islam

15 12 2007

 

Oleh ZUARIDA MOHYIN

LAFAZ dua kalimah syahadah yang dilakukan pada Ogos 2005 tetap segar dalam ingatan Steven Lee Yok Hwa yang kini lebih serasi dengan nama Muhammad Faizal Lee Abdullah. Lelaki berusia 45 tahun ini adalah anak kelahiran Temerloh, Pahang.

Ini kerana pada tarikh tersebut penantian Perancang Estet Islamik di as-Salihin Trustee Berhad selama lebih 20 tahun berakhir. Ia tambah bermakna apabila upacara pengislaman yang dilakukan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) itu turut disertai isteri tercinta, Norlinda Tan Kim Siew, 44 tahun.

Berkongsi cerita minatnya terhadap agama Islam, kata Faizal Lee, sejak remaja beliau cenderung memilih bahan-bahan bacaan berkaitan agama Islam. Malah pembacaannya tidak setakat pada agama Islam tetapi meliputi bahan-bahan tentang agama-agama lain.

Malah sebelum memeluk agama Islam secara sah, sedikit sebanyak saya sudah melakukan amal ibadat dalam Islam seperti berpuasa dan berusaha melakukan perkara-perkara yang ditegah Islam.

Apabila usia saya menjangkau 25 tahun, boleh dikatakan saya sudah mengetahui hampir semua agama utama anutan masyarakat Malaysia.

Pada masa itu juga, saya berkenalan dengan seorang guru agama dan menerusinya pengetahuan agama Islam saya semakin mendalam terutama yang menyentuh bab tauhid, usuluddin dan banyak lagi,” terang Faizal Lee ketika ditemui di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya baru-baru ini.

Menurut Faizal Lee, insiden selepas beliau mengikuti rombongan pendakian ke Gunung Tahan, Pahang yang mengambil masa lapan hari kira-kira 20 tahun lalu benar-benar menyedarkannya akan matlamat kehidupannya.

Sekembalinya saya daripada ekspedisi tersebut menyebabkan saya tertidur dua hari dua malam. Ia berlaku berkemungkinan kerana pemergian itu tanpa persediaan dan persiapan sama ada dari segi mental mahupun fizikal.

Kepenatan yang dialami tidak terhingga dan saya bersyukur kerana dapat sedar semula. Bayangkan kalau pada masa itu Allah cabut nyawa ini, apa akan jadi pada diri saya yang belum sempat memeluk agama Islam sedangkan saya sudah meyakini kebenarannya.

Semenjak itulah pencarian saya tentang Islam semakin serius. Alhamdulillah, teman-teman yang beragama Islam begitu menyokong dan kami bersama-sama mendalami Islam,” kata Faizal Lee yang mendirikan rumah tangga pada 1986 dan kini dikurniakan tiga orang cahaya mata antara usia 19 hingga lapan tahun.

Pada usia 35 tahun, Faizal Lee bertemu dengan seorang guru agama yang arif ilmu tasawuf. Berguru dengannya kata Faizal Lee, banyak perkara positif yang dialami. Beliau lebih mengenali diri, kekuatan dan kelemahan. Pengetahuan tersebut mengubah cara hidup dan pandangannya tentang matlamat kehidupan.

Kalau sebelum ini saya akui saya jenis pemarah, mudah melenting apabila ada sesuatu yang tidak kena tetapi semenjak mendapat tunjuk ajar itu, saya sudah boleh mengawal perasaan marah tersebut.

Malah semasa bergelar pengurus kewangan di sebuah syarikat swasta banyak cabaran dan ujian terutama dari segi kewangan yang dihadapi. Antaranya, saya pernah merasai keuntungan RM400,000 dalam masa seminggu dan pernah juga mengalami kerugian sebanyak RM1 juta dalam tempoh tiga jam.

Kemewahan wang ringgit tidak ke mana kerana semua itu adalah hak Allah. Bila-bila masa sahaja Dia boleh beri dan boleh ambil semula. Lantaran itu, kekuatan keimananlah yang lebih mendatangkan ketenangan dan menyedarkan saya bahawa kehidupan ini bukan untuk dunia sahaja tetapi akhirat,” katanya.

Kelainan konsep ketuhanan dalam Islam berbanding agama lain adalah antara faktor utama yang berjaya menarik minat Faizal Lee kepada Islam.

Malah beliau mengakui hasratnya bergelar muslim telah diluahkan kepada isteri kira-kira 10 tahun lalu tetapi tidak mendapat respons positif.

Terbuka

Faizal Lee lebih bersikap terbuka kerana dia mahu isterinya menerima Islam bukan kerana terpaksa tetapi atas kehendak atau kerelaan sendiri.

Oleh itu, saya cuba tunjukkan contoh akhlak baik terutama kepada isteri dan anak-anak. Alhamdulillah, selepas mendalami ilmu tasawuf perubahan sikap jelas ketara dan ini sekali gus mewujudkan kesedaran isteri tentang kebaikan Islam.

Beberapa kali ajakan saya sebelum ini ditolak tetapi pelawaan pada suatu petang mendapat reaksi tidak diduga. Persetujuannya tanpa banyak persoalan adalah saat yang paling dinanti-nanti. Saya bersyukur dengan hidayah Allah ke atas isteri.

Keikhlasan isteri amat saya hargai dan kejayaan ini telah menjadi pemangkin semangat kepada saya untuk membimbing dan bergelar ketua keluarga dalam erti kata yang sebenar.

Pun begitu, saya tidak memaksa anak pertama dan kedua dalam hal ini. Sedangkan kepada isteri saya mengambil masa yang agak lama, inikan pula anak-anak. Saya mahu mereka kenali dahulu Islam sebagaimana saya lakukan, kerana dengan cara itulah baru teguh keimanan mereka,” akui Faizal Lee yang kini mengikuti kelas-kelas agama secara formal dengan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).

Pesanan Faizal Lee kepada mereka yang berminat dengan Islam supaya tidak membandingkan masyarakat Islam dengan agama itu kerana ada segelintir manusia hanya Islam pada nama.

Islam itu adalah agama yang cukup lengkap, teliti dan merangkumi banyak aspek daripada hal yang sebesar-besar hinggalah yang remeh-temeh.

Penghayatan rukun iman yang tidak sepenuhnya menyebabkan agama Islam dilabel secara tidak tepat. Oleh itu, gunakanlah pelbagai sumber yang ada untuk memperoleh seberapa banyak maklumat tentang Islam.

Dengan cara itu saya yakin akan datang perasaan cinta abadi kepada Islam mengatasi cinta sesama makhluk,” kata Faizal Lee yang bersedia memberikan perkhidmatan berkaitan penulisan wasiat, perkhidmatan penjagaan, pentadbir estet, pemegang amanah bagi amanah hayat, amanah pendidikan, amanah kebajikan, amanah korporat, harta sepencarian dan banyak lagi.

Menyentuh tentang perkhidmatan tersebut, Faizal Lee suka memfokuskan kepada golongan mualaf kerana ramai daripada mereka yang masih kurang pemahaman tentang perancangan kewangan dan harta sekiranya berlaku kematian ke atas diri mereka.

Soal pembahagian harta ini kena dijelaskan kerana ahli keluarga yang belum Islam tidak tergolong dalam hukum faraid sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran.

Lantaran itu sekiranya mereka mengetahui dan memahami tentang pengurusan harta secara Islam maka waris-waris yang belum memeluk Islam berpeluang disalurkan sebahagiannya menerusi instrumen tertentu,” jelas Faizal Lee.

Utusan Malaysia 1 MAC 2006


Actions

Information

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: