Yeoh Cheng Teik- Jadi Muslim Setelah Puas Mengkaji

15 12 2007


Oleh ZUARIDA MOHYIN


MOHD. SYUKRI.



PERSOALAN-persoalan seperti siapakah Pencipta alam ini, peredaran siang dan malam, objek sembahan, kewujudan alam semesta dan makhluk di muka bumi ini sentiasa berlegar-legar dalam fikiran Yeoh Cheng Teik biarpun pada masa itu usianya baru mencecah 11 tahun.

Perasaan ingin tahu yang meluap-luap inilah mencetuskan semacam satu semangat dan kekuatan dalaman untuknya mencari jawapan serta kebenaran waima pencarian yang dilalui itu secara sendirian dan tanpa pengetahuan keluarga.

Malah akui Pensyarah Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd. Syukri Yeoh Abdullah, 43, matlamat pencariannya hampir 32 tahun lalu itu tidak tertumpu kepada satu agama sahaja tetapi dengan membuat perbandingan menerusi pelbagai agama anutan utama rakyat Malaysia seperti Hindu, Buddha, Kristian dan Islam.

“Saya masih ingat pada usia yang dianggap masih terlalu muda dan mentah itu saya telah mencari bahan-bahan berkaitan serta masuk ke mana sahaja rumah ibadat seperti tokong, gereja, surau dan masjid demi mencari jawapan kepada kemusykilan yang berserabut di kepala .

“Akhirnya hidayah itu datang semasa saya berkunjung ke sebuah masjid di Ipoh, Perak. Saya dapati bahawa di dalam Islam, Allah adalah Tuhan yang sebenar dan Dialah yang berkuasa menjadikan alam dan makhluk di dunia ini.

“Konsep ketuhanan dalam Islam adalah yang paling diterima akal dan menerusi agama inilah banyak persoalan yang selama ini membebani fikiran dijelaskan mudah dan berserta buktinya sekali,” imbas Mohd. Syukri yang dilahirkan di Pulau Pinang dan dibesarkan di Ipoh, Perak sewaktu ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Kata Mohd. Syukri, sejak itu beliau mula menjadi ahli masjid secara aktif dengan mengikuti kelas-kelas agama serta mempelajari muqaddam dan al-Quran di masjid.

Pada masa yang sama, beliau turut meluahkan hasratnya memeluk agama Islam kepada keluarga. Setahun kemudian, Mohd. Syukri mengucap dua kalimah syahadah pada 27 November 1978 di sebuah masjid di Ipoh yang menjadi saksi kejayaannya menguasai muqaddam dalam masa seminggu dan empat bulan sahaja untuk khatam al-Quran.

Pun begitu, perjalanannya selepas pengislaman adalah yang paling berliku dalam diari kehidupan bergelar muslim. Apa tidaknya, sudahlah setahun sebelum itu anak bongsu daripada empat adik-beradik ini kehilangan ayah tersayang dan apabila keluarga mengetahui tentang hasratnya memeluk Islam, nasibnya bagai sudah jatuh ditimpa tangga.

“Ibu mana yang tidak kecewa apabila anak mereka tidak mendengar kata tatapi saya yakin keputusan yang saya buat pada masa itu adalah benar. Akhirnya ibu melepaskan saya dengan syarat saya tidak terlibat dengan gejala yang tidak sihat.

“Alhamdulillah, selama dua tahun itu saya mendapat sokongan dan bantuan daripada jiran sekeliling walaupun sangat sederhana. Waktu itu sungguh sukar sehingga ke tahap saya cuma mengalas perut dengan biskut dan teh cina.

“Untuk meneruskan pelajaran dan melayakkan saya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya tinggal menumpang dengan guru-guru di Institut Sofar di Ipoh hingga tamat SPM. Kemudian saya berhijrah ke Kuala Lumpur dan melakukan pelbagai pekerjaan untuk meneruskan kelangsungan hidup,” kata Mohd. Syukri. Baginya, kesusahan yang dihadapi sedikit pun tidak menggugat keimanan malah pada masa itu keyakinannya kepada Allah s.w.t. mengatasi segalanya.

Seperkara yang tidak pernah ditinggalkan oleh Mohd. Syukri selama berhijrah ke Kuala Lumpur ialah meneruskan pencarian ilmu agamanya walau di mana dia berada.

Malah setelah berpindah ke Bandar Baru Bangi, Selangor, kesungguhan yang ditunjukkannya telah mendapat kepercayaan seorang insan mulia yang sangat dicintainya yang menyatakan kesanggupan untuk menanggung kos pengajian beliau ke Sekolah Maahad Bu’uth di Al-Azhar dan American University of Cairo, Mesir.

Pengajian

Beliau menyambung pengajian di University of Cairo di Mesir dalam bidang bahasa Arab. Selepas tamat pengajian selama dua setengah tahun, beliau kembali ke Malaysia sebelum menyambung pengajian pondok di Penanti, Bukit Mertajam dan berjaya memperoleh Sijil Tinggi Agama (Shahadah Aliyah).

“Berbekalkan kelulusan yang ada saya memohon pengajian di tiga buah universiti iaitu di Pakistan, Kuala Lumpur dan Aceh. Akhirnya saya menyambung pengajian empat setengah tahun di Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Nuruddin Al-Raniry, Aceh dalam bidang pendidikan Islam.

“Tamat pengajian, saya ditawarkan jawatan tutor di Fakulti Persuratan Melayu (UKM) dan dalam tempoh perkhidmatan itu saya sambung pengajian hingga ke peringkat Ijazah Sarjana dan kini sedang menyiapkan tesis doktor falsafah (Ph.D) tentang Sejarah Pemikiran Dakwah,” kata insan berjiwa kental ini.

Kejayaan Mohd. Syukri menghadapi cabaran dalam situasi bergelar saudara baru sewajarnya menjadi contoh kepada insan sepertinya. Tegasnya, kesenangan yang dirasai dan dinikmati tidak begitu mudah diperoleh sekiranya seseorang itu tidak berusaha, bersabar dan paling penting meyakini kekuasaan Allah s.w.t..

Islam bukan sahaja agama yang hanya indah dari segi teori malah ia jauh lebih indah jika dipraktikkan dalam kehidupan. Dari segi ilmiahnya, telah ditegaskan bahawa Islam adalah agama yang diredai untuk anutan seluruh umat manusia. Firman-Nya yang bermaksud: Pada hari ini telah-Ku sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmat-Ku dan telah-Ku redai Islam itu agama bagimu. (al-Maidah: 3)

Kata beliau, perbezaan cara melihat Islam menyebabkan timbul banyak salah faham tentang agama syumul ini. Malah hal ini menyebabkan keunggulan Islam sebagai agama yang diredai Allah s.w.t. tidak terserlah. Sama ada dari segi ilmiahnya, apatah lagi dari segi amalinya, Islam tidak kelihatan indah seperti sewajarnya.

“Ini menyebabkan orang bukan Islam tidak tertarik untuk mendekati Islam bahkan memusuhinya. Salah satu sebabnya ialah kerana faktor kejahilan sebilangan orang Islam itu sendiri telah memberi gambaran yang tidak tepat tentang ajaran Islam sebenar.

Ceramah

“Lantaran itulah berdakwah bil-hal adalah lebih baik dan berkesan berbanding dengan menyampaikan ceramah kepada masyarakat bukan Islam. Malah cara ini jugalah yang digunakan oleh Baginda pada peringkat awal kedatangan Islam,” jelas Mohd. Syukri yang mendirikan rumah tangga dengan pensyarah pengajian Arab dan Tamadun Islam, Dr. Salmah Ahmad pada 1997. Perkahwinan mereka telah dikurniakan dua puteri iaitu Nismah Yeoh, 7, dan Fadiah Yeoh, 5.

Sebelum mengakhiri perbualan pagi itu, Mohd. Syukri menyarankan agar orang Cina yang beragama Islam seharusnya diberi hak mereka seperti hak identiti bangsa iaitu Cina Islam, hak sosial, hak ekonomi dan banyak lagi.

Apabila seseorang Cina itu masuk Islam, ini tidak bermakna dia hilang identiti bangsa mereka. Selagi mana kehidupan budaya sebelum ini tidak bertentangan dengan syarak, selagi itu Islam membenarkan. Contohnya dari segi pemakanan, sekiranya ia disediakan secara halal dan mengikut syariat agama, maka makanan tersebut boleh dinikmati. Kurang kefahaman sama ada daripada masyarakat Islam dan bukan Islam inilah yang menyebabkan wujud salah faham.

“Malah saya yakin sekiranya ini dijelaskan dan diberikan sama rata, contohnya masyarakat Cina Muslim diberikan masyarakat dan masjid mereka sendiri, saya rasa lebih ramai kaum Cina akan memeluk agama Islam.

“Ini kerana dengan pembelaan hak, mereka pasti lebih mudah mendapat gambaran jelas dan difahami oleh bangsa Cina yang belum menerima hidayah,” ujar Mohd. Syukri.


Actions

Information

One response

9 05 2008
flyinghigh1399

Assalamu alaikum…this is an excellent article. How can I contact Dr. Yeoh???

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: