Li Nee Pilih Islam

6 08 2008

BEBERAPA hari ini fikiran dan perasaan Li Nee a/p Chian berkecamuk. Serba-serbi yang dibuat bagai ada yang tidak kena. Ini semua gara-gara e-mel yang dihantar kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tempoh hari. Rasanya sudah seminggu berlalu, namun satu respons pun tidak diterima. Benarlah bagai dikata, penantian itu satu penyiksaan. Apatah lagi, e-mel tersebut membayangkan gejolak di jiwanya yang berkaitan agama Islam.

Bicara e-mel yang berbunyi: Bagaimana saya hendak belajar tentang Islam? Sekali lagi cuba dihantar, tetapi kali ini kepada Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Itupun setelah puas melayari Internet dengan harapan ada pihak yang peduli akan luahannya itu. Bentak hati kecil gadis berbangsa Siam, itulah kiriman e-mel terakhir, tidak ada yang ketiga atau seterusnya selepas dari ini.

Petang itu, Li Nee terkejut. Di peti e-melnya tertera kiriman balas e-mel dari IKIM. “Takkanlah dah terima e-mel balas sedangkan baru pagi tadi dihantar,” tanya penuntut tahun satu bidang kejuruteraan awam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu kehairanan.

Nota berbunyi: Bolehkah kita berjumpa? Kiriman Nur Azaruddin, seorang pegawai di IKIM dibaca tenang. Biarpun ringkas tetapi begitu terkesan di hati gadis kelahiran Pendang, Kedah ini. “Esok saya akan ke IKIM. Terima kasih,” balas Li Nee pendek.

Rentetan beberapa siri pertemuan dengan Nur Azaruddin, selang tiga bulan kemudian, Li Nee mengucap dua kalimah syahadah di Pejabat Agama Islam Kajang, Selangor, dan 20 April 2004 adalah tarikh keramat dalam lembaran baru kehidupan beliau bergelar Muslim.

seterusnya





9 Pasangan Mualaf Orang Asli Berkahwin

6 08 2008
SAH bergelar suami isteri… Sembilan pasangan mualaf Orang Asli yang diraikan dalam majlis pernikahan beramai-ramai di Perkampungan Orang Asli, Ulu Kuang, Selangor.


SURAU al-Hidayah di perkampungan Orang Asli Ulu Kuang, Gombak Barat, Selangor tidak ada apa yang istimewa. Rutinnya sama seperti surau atau masjid di daerah Selangor yang lain. Apatah lagi, umat Islam di perkampungan itu hanya seramai 156 orang daripada 363 jumlah penduduknya.

Pun begitu, surau ini tidaklah seperti hidup segan mati tak mahu. Kemudahan asasnya lengkap, bersih dan sentiasa diimarahkan dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan majlis ilmu. Setiap hari pasti berkumandang laungan azan dan solat berjemaah. Pada sebelah petangnya pula diadakan kelas agama dan sekali sekala dianjurkan perayaan hari-hari kebesaran umat Islam.

Namun suasana ketenangan ini berubah sedikit sewaktu berlangsungnya majlis pernikahan dan perkahwinan beramai-ramai sembilan pasangan mualaf Orang Asli dari daerah Gombak Barat dan Gombak Timur, 5 Mei lalu.

Apa tidaknya, pelbagai gelagat melucukan. Ada yang hendak menikahkan tok kadi, menjawab sahutan tok kadi dengan bahasa Inggeris dan terpaksa ditenangkan selepas berkali-kali melafazkan ijab kabul. Semuanya menimbulkan suasana gamat dan riuh rendah dengan gelak ketawa para tetamu pada majlis penuh bersejarah, khasnya kepada pasangan mempelai.

Malah penulis dimaklumkan oleh juru nikah yang juga Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Gombak, Daim Jajuli, majlis tersebut merupakan satu sejarah baru.

Ini kerana, kata beliau, sebelum ini majlis sama pernah dilangsungkan di kampung tersebut iaitu pada 1996. Bezanya pada masa itu hanya empat pasangan mualaf Orang Asli daerah Gombak diraikan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berbanding kali ini.

seterusnya





Jeffrey anak Rambu pilih Islam

6 08 2008

BELIAU pernah ditangkap pegawai penguatkuasa agama kerana makan secara terang-terangan di hadapan khalayak ramai pada bulan Ramadan. Malah, semasa memulakan tugasan di Shah Alam, Selangor dahulu, kawan-kawan sekerjanya sering memberikan salam bila mereka bertembung.

Sebenarnya, dua insiden ini, kata Jeffery anak Rambu atau nama Islamnya, Muhammad Anwar Abdullah, 33, berlaku lama sebelum dia mengucapkan syahadah.

Pun begitu, kejadian ditangkap kononnya beliau tidak berpuasa, benar-benar menyirap darah muda anak jati Sri Aman, Sarawak ini. Namun, akui Anwar, kejadian tersebut rupa-rupanya mengandungi hikmah yang terungkai setelah diri bergelar Muslim.

“Saya tidak menyalahkan mereka, sungguhpun rasa seperti dimalukan. Tetapi mungkin kerana raut wajah saya yang mirip lelaki Melayu, jadi mereka ingatkan yang saya tentunya beragama Islam. Hinggakan kalau yang memberi salam, saya sekadar membalasnya dengan senyuman kerana memahami yang mereka tidak tahu,” jelasnya.

Bagi Anwar, agama Islam, bukanlah terlalu asing. Ini kerana sebelum berhijrah ke Semenanjung, dia mempunyai keluarga angkat yang beragama Islam. Pada masa itu, ibu bapanya meletakkan Anwar di bawah jagaan mereka sejak usia dua tahun hinggalah ke tingkatan lima untuk tujuan mengubati sejenis penyakit misteri yang dialami sejak kecil.

seterusnya





Arkib JUN 2008

6 08 2008