cikgu sering menegur kenapa saya selalu membuat gubahan pelbagai berbentuk masjid semasa bersekolah dahulu dan saya tidak pernah menyangka simbol itu akhirnya mendekatkan saya terhadap Islam,” ujar Khamalin Mastura Cheong, 20.
Khamalin yang menyambut Aidilfitri kali kedua sebagai seorang Islam pada tahun ini ketika ditemui baru-baru ini menambah, kecenderungan terhadap Islam di luar sedarnya ketika berusia 16 tahun. Namun akhirnya beliau memeluk agama Islam selesai peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Saya bersyukur dan puas hati dapat memeluk agama Islam pada awal tahun 2007 dan kini banyak membawa ketenangan kepada saya,” katanya.
Cerita beliau, selepas menamatkan pelajaran tingkatan tiga di sebuah sekolah di Selangor, beliau memohon memasuki sekolah teknik.
“Saya ditawarkan dalam jurusan bakeri dan konfektionari Sekolah Menengah Teknik Kuala Kangsar pada tahun 2005,” ujarnya.
Pada setiap sesi pembelajaran kek katanya, beliau banyak mengikut naluri hatinya menggubah kek kepada bentuk masjid kerana terdapat keaslian dalam rekaan serta mudah menggabung ising yang diperlukan.
“Mungkin alasan itu pada asasnya, tetapi jauh di lubuk hati, saya berasa sangat tenang dan sukar meluahkan dengan kata-kata betapa damainya setiap kali memandang bentuk masjid yang selesai digubah berada di hadapan mata,” ujarnya tersenyum.
Khamalin ditemui sempena Majlis Sumbangan Zakat Lembaga Kebajikan Perempuan Islam (LPKI) negeri Kelantan di Institut Dakwah Islamiah, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), baru-baru ini.
Menurut beliau, minatnya menggubah kek ke bentuk masjid itu juga sering mendapat teguran daripada rakan tetapi dia tidak menganggapnya sesuatu yang membebankan.
Tambahan pula katanya, beliau mempunyai kawan rapat di kalangan orang Melayu dan sering memberi galakan dalam usahanya itu.
Selain itu jelasnya, setiap kali melihat kawan-kawannya bersolat, beliau tertarik dengan amalan tersebut yang mempamerkan keharmonian.
“Jika mempunyai kelapangan, saya sering melakukannya (solat) secara bersembunyi dan mendapati ibadat mudah dikerjakan dan berasa sungguh bahagia.
“Saya juga mendapati agama itu memberi ketenangan, tambahan pula ketika itu saya berhadapan dengan masalah keluarga,” ujarnya yang tinggal dengan keluarga angkat Islam sepanjang beliau bersekolah di Kuala Kangsar, Perak.
Leave a Reply